“Eh kenapa pulak syarikat insurans A tawarkan harga lebih rendah berbanding syarikat insurans B ye dik”.
Ini lah persolan yang sering ditanya oleh pelanggan terutama pelanggan wanita setiap kali renew insurans kenderaan. Jawapan saya tetap sama. “lebih banyak yang puan bayar untuk harga insurans, lebih banyak risiko yang ditanggung oleh syarikat insurans”. Tapi kenapa harganya berbeza-beza?
Tahukah anda, pada 1 July 2017 Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi kebebasan kepada penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menetapkan harga premium mereka.
Di dalam dunia insurans mereka panggil fasa Liberalisasi. Sebelum fasa ni dilaksanakan, tarif insurans dikawal selia oleh Bank Negara (BNM). Selaku pengawal selia industri insurans, semua syarikat insurans wajib mematuhi tarif yang ditetapkan BNM.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi harga insurans anda. Syarikat insurans akan berpandukan faktor ini untuk membentuk profil risiko pemilik atau kenderaan itu sendiri.
#1: Jumlah yang dilindungi.
Kebiasaannya jumlah ini di ambil dari nilai sesebuah kenderaan (Market Value). Namun, terdapat juga syarikat insurans yang menawarkan jumlah yang dipersetujui (Agree Value). Berbeza dengan market value, syarikat insurans akan membayar nilai yang dipersetujui sekiranya berlakunya total loss kepada kenderaan anda. Jadi logiknya semakin tinggi jumlah yang anda pilih untuk dilindungi, semakin mahal lah harga insurans anda nanti.
#2: Kapasiti Enjin Kenderaan.
Kenderaan dengan kapasiti enjin yang tinggi selalunya mempunyai profil risiko yang tinggi kerana ada kebarangkalian untuk memandu dengan kelajuan yang tinggi dan berlaku kemalangan. Untuk mengelakkan kerugian berlaku, syarikat insurans akan menyenakan harga premium yang tinggi mengikut kapasiti enjin kenderaan yang diinsuranskan. Harga premium insurans akan mula meningkat pada paras 1400 CC ke atas.
#3: Umur Kenderaan.
Harga premium insurans akan meningkat sekiranya umur kenderaan anda meningkat. Ini kerana apabila umur kenderaaan meningkat, performance kenderaan akan semakin menurun. Apabila performance menurun kenderaan akan terdedah kepada risiko kemalangan jika pemilik kenderaan tidak menyelenggara kenderaan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Harga premium insurans akan meningkat bermula pada kenderaan 10 tahun dan ke atas.
#4: Umur Pemandu.
Pengalaman memandu di atas jalan raya dan keadaan kesihatan pemandu juga menjadi faktor kurangnya risiko kemalangan berlaku. Ini boleh diukur dengan umur pemandu tersebut. Harga premium insurans akan mula meningkat jika pemandu berumur kurang daripada 26 tahun dan atas daripada 69 tahun.
#5: Pengalaman Tuntutan.
Tingkah laku pemanduan juga menjadi faktor kurangnya risiko kemalangan. Pemandu yang berdisiplin selalunya mempunyai rekod tuntutan yang rendah dan sebaliknya akan berlaku pada pemandu yang kurang mematuhi arahan lalu lintas. Mempunyai rekod tuntutan yang tinggi akan meningkatkan harga premium insurans anda.
#6: Spesifikasi Kenderaan.
Terbahagi kepada dua bahagian:
- Kenderaan yang mempunyai spesifikasi keselamatan pada kenderaan yang bagus kan dapat mengurangkan harga premium insurans kerana kurangnya risiko kecurian berlaku.
- Kenderaan yang berprestasi tinggi (sport car) akan dinilai dengan harga premium yang tinggi kerana risiko kemalangan berlaku amat tinggi.
#7: Lokasi Geografi Kenderaan
Harga premium insurans akan terjejas sama ada kenderaan itu berada di Timur atau Malaysia barat mengikut lokasi kenderaan anda didaftarkan pada pihak insurans. Hal ini kerana lokasi yang dilabel black area oleh penguatkuasa akan mempunyai risiko kecurian yang tinggi, apabila risiko meningkat, harga premium insurans juga akan meningkat.
#8: Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD)
Ini adalah diskaun untuk menghargai pemandu yang cermat dan mampu menjauhkan daripada berlakunya kemalangan pada kenderaan mereka. Mereka juga tidak mengharapkan syarikat insurans untuk menyelesaikan masalah kemalangan yang dihadapi mereka. Diskaun ni akan diberi setiap tahun sehingga 5 tahun iaitu 25%, 30%, 38.33%, 45% dan mencecah diskaun maximum 55% kepada jumlah premium insurans asas.
#9: Jenis Perlindungan Insurans
Terdapat 3 perlindungan insurans asas yang sering ditawarkan iaitu:
- Third party – perlindungan ini hanya melindungi pihak ketiga yang terlibat sekiranya berlaku kemalangan pada kenderaan anda.
- Third party, fire and theft – asasnya perlindungan yang sama seperti third party tetapi ada penambahan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan dan kecurian pada kenderaan yang diinsuranskan.
- First party (komprehensif) – Perlindungan yang merangkumi kesemua termasuk pemandu, kenderaan dan pihak ketiga mengikut kepada polisi insurans anda.
Berdasarkan faktor-faktor di atas lah syarikat insurans/pengendali takaful akan mencipta profil risiko bakal pelanggan mereka. Jadi harga yang diberikan bagi setiap syarikat insurans akan berbeza-beza mengikut profil risiko yang mereka cipta.
Hak anda sebagai pengguna, buat lah perbandingan sebelum anda membuat keputusan untuk membeli berdasarkan maklumat yang diperolehi dengan mendapatkan sebut harga (quotation) yang berbeza dengan menghubungi ejen insurans yang berlainan melalui pusat paggilan atau saluran atas talian.