Berhati-hati Memilih Nilai Insurans Semasa Memperbaharui Insurans Jika Tidak Mahu Membayar Untuk Tuntutan Insurans Anda.

In Fahami Insurans Anda, Insurans Kereta by webmasterLeave a Comment

Apakah maksud nilai insurans?

Nilai Insurans atau ‘Sum Insured’ ternyata di dalam jadual polisi insurans anda sebagai nilai atau jumlah maximum bagi kenderaan yang akan diinsuranskan mengikut nilai pasaran semasa kenderaan tersebut. Jumlah yang diinsuranskan akan menurun sebanyak 10% setahun apabila kereta menyusut nilai atau mengikut harga pasaran.

Berapakah nilai kenderaan yang anda patut insuranskan di bawah polisi komprehensif atau polisi pihak ketiga, kebakaran dan Kecurian?

Untuk memudahkan urusan, anda perlu menginsuranskan kenderaan anda mengikut nilai pasaran semasa kenderaan tersebut. Kebiasaannya nilai pasaran ini sudah ditetapkan oleh system penilaian nilai pasaran yang diluluskan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di dalam sistem setiap syarikat insurans. Nilai yang paling rendah untuk anda pilih bagi insurans kenderaan adalah 10% daripada nilai pasaran semasa .

Dengan kata mudah, nilai ini adalah kos semasa untuk menggantikan kereta anda dengan kereta yang sama buatannya, modelnya, umurnya dan keadaannya.

Apa yang berlaku jika nilai diinsurankan kurang dari nilai pasaran?

Kebiasaannya pelanggan akan mengurangkan nilai yang diinsuranskan ini sehingga kurang dari nilai pasaran. Ini kerana, apabila kurang nilai diinsuranskan, jumlah harga insurans kenderaan yang akan dibayar akan berkurangan.

Tetapi anda perlu berhati-hati kerana, jika anda memilih nilai yang diinsuranskan kurang dari nilai pasaran semasa ini akan menyebabkan anda akan didenda oleh pihak insurans semasa membuat tuntutan. Apa yang berlaku, syarikat insurans tidak akan membayar penuh nilai tuntutan mengikut kadar pasaran semasa sebaliknya pihak insurans hanya membayar peratus bahagian yang ditanggung insurans.

Contohnya, jika nilai pasaran kereta anda ialah RM50,000 tetapi anda hanya menginsuranskannya pada nilai RM40,000 semasa memperbaharui insurans, maka anda boleh didenda kerana kurang nilai insurans. Andaikan kerugian yang ditaksir sebanyak RM4,000. Pihak insurans berhak untuk tidak membayar penuh jumlah tuntutan sebaliknya anda perlu menaggung sebahagian daripada kerugian tersebut mengikut kadar insurans terkurang seperti berikut:

Oleh itu, pihak insurans akan membayar RM3,200 sahaja dari jumlah tuntutan RM4,000 tersebut manakala anda perlu membayar baki RM800 ini kerana mengikut kepada kadar insurans terkurang.

Bagaimana pula jika anda memilih jumlah yang diinsuranskan terlebih daripada nilai pasaran kenderaan?

Seandainya nilai diinsurans terlebih daripada nilai pasaran, akan berlaku pembaziran kepada anda sebagai pemegang polisi kerana pihak insurans hanya akan membayar kerugian mengikut nilai pasaran sahaja. Tiada bayaran lebihan yang dibuat lebih daripada nilai pasaran semasa kenderaan.

Jadi untuk mengelakkan perkara ini terjadi, saya sarankan anda berbincang dengan ejen insurans yang anda pilih untuk memilih nilai yang sesuai untuk kenderaan anda supaya tidak berlaku pembaziran dan kerugian di pihak anda pada masa membuat tuntutan insurans akan datang.

Leave a Comment